Friday, 28 November 2014

UMNO - Angka Sebagai Ukuran?


Kelangsungan perjuangan UMNO
 
Perhimpunan Agung UMNO 2014 yang sedang berlangsung terus membahaskan isu-isu berkaitan agama, bangsa dan Negara. Samada usul yang dibawa adalah usul yang segar, relevan dan berkualiti…hanya perwakilan dan kepimpinan UMNO sahaja yang dapat menilai dengan tepat. Begitu juga usul dari Perhimpunan Agung UMNO tahun lalu, corat-coret sudah menjadi kenangan dan samada tindakan susulan, pembetulan, penambahbaikan, perubahan dan kajian sudah dibuat atau tidak, juga hanya perwakilan berkaitan dan kepimpinan UMNO sahaja yang tahu dengan lebih terperinci.
 
Satu yang menarik perhatian saya kali ini ialah dialog di bawah, dipetik dari MSTAR - PAU 2014 : War Room Nadi Pemuda UMNO
 
"Mulai tahun hadapan kita menggerakkan war room di setiap Pemuda Umno Bahagian. Tahun hadapan juga akan menjadi tahun untuk kita menambah keahlian. Bukan selama ini kita tak buat, tapi tahun hadapan kita ada satu program khusus untuk tambah ahli.
 
Kita juga sahut baik penambahbaikkan yang dibuat oleh pucuk pimpinan iaitu untuk tambah ahli melalui pendaftaran online. Pemuda Umno juga akan menggerakkan pendaftaran pengundi muda dengan lebih banyak dan aktif.”
 
– Datuk Seri Najib Bin Tun Razak, Presiden UMNO.
 
Masih kurangkah ahli UMNO untuk menjamin kelangsungan solidariti? Adakah ahli-ahli yang sedia ada tidak mampu lagi berjuang dalam UMNO? Atau idealisme yang ada sudah tidak relevan untuk survival parti?
 
Kuatkah UMNO?

Photo by UMNO Online
Dengan bilangan keahlian parti yang kini telah melebihi angka 3 juta orang, UMNO tidak seharusnya mengatakan yang parti itu adalah satu parti yang benar-benar kuat. Dari jumlah yang tercatat, sebahagiannya adalah ahli lelap, ahli yang sudah berpaling tadah, ahli yang sudah kecewa, ahli yang memburu kepentingan diri, ahli yang tamakkan kuasa, harta dan pangkat, ahli yang menjadi duri dalam daging, ahli yang tiada apa-apa tujuan (hanya mengikut atau kerana terpaksa) dan yang selebihnya….barulah ahli-ahli yang benar-benar berjuang atas nama parti, berjuang kerana bangsa, agama dan Negara.
 
Peratusan dalam pecahan kelompok yang dinyatakan di atas sukar untuk diangkakan. Agak baik jika kelompok terakhir itu mempunyai angka pecahan yang tinggi sehingga 75%. Dan agak malang jika angka peratusan itu diwakili oleh kelompok terdahulu selain dari kelompok yang akhir. Sekiranya benar, hanya 25% ahli UMNO yang benar-benar setia, berjuang untuk parti, untuk bangsa, untuk agama dan Negara…maka wajarkah UMNO dilabel sebagai sebuah parti yang kuat?
 
Sudah banyak kita lihat, satu kelompok masyarakat atau keluarga yang rata-rata adalah ahli UMNO tetapi mereka tidak mengundi untuk parti. Juga satu kelompok yang lain, tidak langsung peduli tentang parti, tidak menjadi ahli dan tidak terlibat dalam aktiviti parti, tetapi mereka mengundi UMNO atas keyakinan kepada kerajaan sedia ada yang diterajui UMNO.
 
Angka lebih 3 juta keahlian, yang sebahagian besar angka itu datangnya dari Sabah sepatutnya menyedarkan kepimpinan UMNO bahawa kekuatan parti itu terletak kepada rakyat yang masih mahukan pembangunan, yang masih mahukan bantuan kerajaan, yang masih mahukan pembelaan, dan yang amat sayangkan bumi yang dipijak serta langit yang dijunjung. Rakyat di Sabah masih yakin UMNO yang menerajui kerajaan yang ada mampu mempertahankan bangsa mereka, mampu menyelamatkan tanah mereka dan mampu membela generasi mereka yang akan datang.
 
Golongan profesional Bandar, rakyat yang sudah banyak menerima bantuan dan subsidi, golongan yang sudah puas mengaut kekayaan dan pihak yang kecewa kerana keperluan tidak dipenuhi parti dilihat sebagai ancaman besar kepada UMNO. UMNO perlu menangani isu ini secara berbeza agar setiap permasalahan dapat diatasi, difahamai, diperhalusi dengan lebih efisien dan relevan.
 
Kuantiti tidak menjamin kekuatan
 
Kempen besar-besaran dari pucuk pimpinan UMNO terutama kepada kedua-dua sayap parti yang menjadi tunjang masa depan UMNO, Pemuda dan Puteri agar mendekati golongan muda dan belia dilihat sebagai satu usaha untuk menguatkan jentera dan survival parti. Anak-anak muda di seluruh pelusuk tanahair terutama anak-anak Melayu diharapkan agar terus bersama UMNO dalam menerajui tampuk kepimpinan Negara. Anak-anak muda diseru agar menyertai UMNO agar dapat sama-sama berjuang mendaulatkan bangsa, memartabatkan bangsa Melayu dan menjadi perintis kepada kemajuan Negara.
 
Sungguhpun begitu, dalam buruan menambah keahlian…timbul pula satu persoalan. “Andai kata keahlian ramai, tetapi sokongan masih samar. Kesetiaan dan keteguhan jatidiri sebagai ahli UMNO rapuh…adakah UMNO akan terus kuat? Atau lebih tajam lagi, adakah UMNO akan terus relevan?” Persoalan pokok, adakah dengan mempunyai ahli yang ramai, menguasai sebahagian besar majoriti penduduk Negara…belum tentu kesinambungan pemerintahan Negara pada UMNO akan berkekalan atau berterusan. Seringkali kita dengar…”bukan kuantiti yang kita mahu, tetapi kualiti”. Keahlian yang ramai belum tentu menjamin sokongan yang kuat, dan penentu kejayaan pada pilihanraya yang akan datang. Ya! memang tidak dinafikan, dengan keahlian yang ramai, peluang dan ruang untuk terus memartabatkan bangsa, menerajui Negara, kekal relevan dan yang paling penting…kekal berdiri dilihat lebih mudah berbanding tiadanya sokongan keahlian dari dalam.
 
Justeru itu, apa yang paling penting dilaksanakan ialah, memajukan ekonomi orang Melayu, memantapkan ikatan perpaduan orang-orang Melayu, menjadikan Melayu bangsa terbilang, mempertahankan Bahasa Melayu sabagai Bahasa utama dan terus menjunjung Islam sebagai agama rasmi serta turut diamalkan menjadi cabaran yang besar bagi setiap pemimpin UMNO khususnya dan ahli-ahli UMNO yang lain secara amnya.
 
Angka sebagai ukuran?
 
Cabaran dari Presiden agar keahlian UMNO ditambah bukan satu matlamat tunggal semua Ketua-ketua Bahagian dan Ketua-ketua sayap parti di peringkat Bahagian. Seringkali gerak kerja tidak disudahkan dengan sempurna atau dilaksanakan tanpa plan kerja yang baik. Sewaktu saya bersama UMNO di salah satu Bahagian di Selatan tanahair lebih 10 tahun yang lalu, sebagai Setiausaha dalam pergerakan Pemuda, saya melihat beberapa kali pertelingkahan berlaku sesame pemimpin Bahagian dalam menentukan kerangka kerja parti di peringkat Bahagian. Jika pertikaian ini tidak ditangani dengan baik, sudah pasti segala gerak kerja tidak mampu disudahkan bagi memenuhi matlamat.
 
Kepimpinan UMNO di akar umbi perlu faham, sasaran menambah bilangan ahli tidak seharusnya diukur hanya dengan angka semata-mata. Program berterusan dalam membentuk generasi muda (atau Gen Y) ini amat penting dan seharusnya menjadi agenda utama dalam plan jangka pendek dan jangka panjang Cawangan, Bahagian, Negeri dan Pusat. Pada saya, biar angka nya kecil, kurang 10 keahlian baharu tetapi berjaya melahirkan barisan pemimpin masa hadapan yang berkualiti…itu jauh lebih baik dari mampu mendaftarkan 100 ahli baru tetapi hanya berterusan ditinggalkan sebagai ‘Ahli Berdaftar’ sahaja.
 
Jika hanya mendapatkan keahlian baharu sahaja yang menjadi KPI untuk semua pemimpin akar umbi, maka jelas sudah bahawa UMNO hanya ingin menjadi juara ‘Siapa Dulu’ atau ‘Siapa Besar’ kerana mentaliti begitu hanya ada pada mereka yang menganggap bahawa Angka Sebagai Ukuran.
 
-End-
 


2 comments: